TERBANG BERSAMA MDB (SIRI 52)
Mekah
Di tahun 2004, mendapat anugerah Ilahi ke Tanah Suci untuk ibadah haji. Di samping peluang, ada juga tanggungjawab. Selaku Timbalan Rektor, saya dilantik ketua kontigen jemaah UIAM & keluarga mereka yang terpilih mendapat visa haji dari Kedutaan Saudi. Ini berita baik. Berita buruk kami kena uruskan segala keperluan logistik sendiri dari bas pengangkutan, kemah, makanan, perubatan, hotel & segala urusan pentadbiran masuk & keluar Saudi.
Ini juga haji saya yang pertama. Kami sampai di Mekah beberapa hari sebelum hari wuquf. Kami ambil Brunei Airlines sebab masih ada seat yang kosong & paling murah. Sewaktu sampai di Jeddah, saya & beberapa rakan lain terpaksa menguruskan urusan imigresyen & bas. Semuanya dibuat serentak. Kena ada skil komunikasi &i keyakinan tinggi. Menarik pengalaman haji saya. Naik haji & jadi pengurus haji.
Pengalaman di wukuf amat menarik antara diri sendiri dengan langit. Satu detik yang tidak boleh dilupa. Bila masuk sahaja waktu maghrib, semua ahli jemaah di padang Arafah bertebaran ke Muzdalifah. Semua dah ada bas masing2. Kami belum ada bas. Saya & beberapa rakan lain merayau2 di sekitar kawasan awam memujuk beberapa pengusaha bas membantu pengangkutan kami ke Muzdalifah. Ada yang bersetuju tapi harga melambung. Kami tak mampu. Cari lagi. Tawar menawar lagi. Akhirnya kami dapat sebuah bas. Tapi kami yang terakhir meninggalkan padang Arafah yang semakin sunyi. Semoga dosa2 mereka yang telah berada di sini diampunkan Allah.
Dimudahkan dapat 2 kemah di Muzdalifah dalam perjalanan ke Mekah. Cukup untuk kami semua, sebuah bagi lelaki & sebuah bagi wanita. Jalan jam sepanjang jalan. Di pagi 10 Zulhijjah, kami bergerak ke Mekah bagi tawaf & Sai serta tahallul pertama.
Masjid al-Haram penuh dengan lautan manusia. Tawaf & sai amat mencabar. Hati & minda kena cekal. Kekuatan & keberanian bukan pada anggota badan tapi pada minda. Kecekalan minda.
"Kalau mereka yang lain dapat lakukan semua ini, kenapa tidak aku?" bahasa minda saya.
Saya terus mengorak langkah setapak demi setapak melakukan tawaf & sai. Sambil tapak kaki melangkah, hati & minda bergerak senafas senada berdoa.
#terbangbersamamdb
MDB